Translate

Sunday, July 13, 2008

LEBIH BAGUS TAK USUL KALAU TAK ADA BELAH BAHAGIAN.

Lihatlah wajah mereka. "Benarkah mereka tidak boleh dipercaya?"


Niat Pakatan Rakyat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan anggota kabinetnya sudahpun ditunaikan oleh YB. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - DSWA, Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat-PKR. Dalam sidang akhbarnya, beliau diapit mantan ketua pembangkang Lim Kit Siang dari DAP dan YB Kamaruddin Jaafar dari PAS. Tuan Guru Nik Aziz, Karpal Singh dan Ustaz Haji Hadi tidak hadir.

DSWA berkata, usul itu mengikut peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) yang berbunyi: "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepemimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.

Walaupun pada dasarnya, usul tidak percaya adalah untuk menentukan samada keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan terhakis dan perlu diturunkan, namun sidang akhbar dan strategi mengemukakan usul itu bagaikan tidak meyakinkan akan berjaya. Malah LKS sendiripun membayangkan bahawa strategi itu akan gagal menurunkan kerajaan. Sekaligus memberi isyarat bahawa usul itu hanyalah sebagai ujikaji semata-mata. Tiada belah bahagian atau undi diadakan dan hanya sekadar untuk perbincangan.

Dato Seri Najib awal-awal mengakui bahawa Speaker mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak usul itu, tetapi timbul persoalan bagaimana Speaker hendak menerima usul itu jika tiada peruntukan berbuat demikian dalam Peraturan Mesyuarat. Andainya diterima sekali pun, pembangkang akan tewas kerana tidak mempunyai cukup majoriti di Dewan Rakyat.

Andainya inilah senario yang terbentang di hadapan kita, maka benarlah bahawa isu yang diwar-warkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai sokongan dan 30+ MP Barisan Nasional, termasuk dari Sabah dan Sarawak hanyalah mainan politik semata-mata. Tidak ada 30+ MP BN akan melompat ke perahu PR bermakna DSAI berbohong sebohong bohongnya.

Dengan demikian, usul yang dikemukakan oleh DSWA hanyalah berupaya membongkar pekung di dada DSAI. Apakah maknanya semua ini kepada penyokong PR? Apakah jeritan dan rintihan “turun” dengan uniform baju merah di Studium Melawati sekadar pesta gila-gila?

Terpenting, apakah tarikh 16 September hanya akan bakal dirayakan sebagai Hari Malaysia tanpa janji manis DSAI?. Semua ini harus menjadi perkiraan rakyat kerana rakyat negara ini sudah cukup menderita oleh permainan politik. Perpaduan yang menjadi tunggak kekuatan Negara Malaysia seolah-olah dijadikan bahan lelucuan sejak dari gelombang kuning hingga ke gelombang merah.

Bukankah natijah usul seperti ini, kiranya tidak serius dan gagal, menjurus dan mengundang kepada suburnya keraguan dan krisis keyakinan rakyat kepada PR dari kepimpinan Pak Lah dan para wajirnya? Atau apakah ianya semata-mata dikemuka bagi menjamu selera LKS yang terlalu sangat berkobar semangatnya membuat usul tidak percaya seperti sikapnya yang selama ini memang tidak percaya kepada kerajaan?. Dia agak kelihatan solah-olah menjadikan DSWA sebagai “parrot” kepada kemahuannya. Ini bakal menentukan wibawa PR tercalar atau sebaliknya dalam masa mendatang terutama menjelangnya PRU13.

Rakyat dan negara ini tidak mungkin mudah dipaling-paling dan dibuat pertaruhan selama-lamanya.

No comments: