Translate

Monday, October 6, 2008

RUMAH TERBUKA HARI RAYA

Semangat Hari Raya Aidilfitri sepatutunya dihormati oleh Hindraf mengikut norma, tatasusila dan acuan Malaysia.


Setiap tahun, Hari Raya terbuka disambut dengan rasa kesyukuran atas kejayaan melawan "hawa nafsu". Semua kaum di Malaysia menyambutnya bersama dengan perasaan muhibbah dan harmoni. Pelbagai hidangan dihidangkan untuk dikongsi dan dinikmati bersama tanpa mengira kedudukan, pangkat, lepercayaan agama dan ideologi politik. Malah amalan ini menjadi bebanggaan kita semua. Rakyat asing kagum dengan cara kita.

Perayaan-perayaan keagamaan yang lain juga disambut sedemikian rupa. Hari Christmas, Xong Xi Fa Chai (CNY), Depavali tidak kurang meriahnya. Malah perayaan tradisi yang lain seperti Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Pesta Kalimaran, Pesta Dragon Boat dan Pesta Rumbia disambut dengan semangat perpaduan dan harmoni yang amat terpuji. Kita bangga keraa kita memiliki masyarakat yang menunjukkan semangat perpaduan yang unggul.

Jamuan Hari Raya Datu Salleh Tun Said yang saya hadiri amat meriah. Datuk Yong Teck Lee dan rombongan SAPP yang telahpun meninggalkan BN turut hadir dan tetap mesra dengan tuan rumah dan para pengunjung walaupun mereka telah memilih ideologi politik yang berbeza. Tidak ramai pemimpin kanan UMNO, walaupun ramai ahli-ahli UMNO, yang hadir ke Jamuan Hari Raya Datuk Salleh, khasnya dari UMNO Bahagian Kota Belud. Ini menunjukkan bahawa kebersamaan anutan parti politik tidak semestinya akan bersama-sama dalam jamuan Hari Raya Terbuka.

Rumah terbuka Hari Raya BN di PWTC pula diberitakan kecoh dengan kehadiran penyokong Hindraf yang membawa message yang meminta pemimpin mereka yang ditahan di bawah ISA dibebaskan. Semua yang masih baik daya ingatannya pasti ingat bahawa lima pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA selepas mengetuai Hindraf menganjurkan tunjuk perasaan yang menyebabkan keadaan kecoh di Bandaraya Kuala Lumpur.

Rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, bagi saya adalah tempat yang amat tidak sesuai bagi Hindraf membawa isu mereka. Ianya tidak boleh langsung menjadi ikutan dan contoh yang baik. Tindakan itu menggambarkan bahawa pengikut Hindraf tidak menghormati perayaan keagamaan penganut Agama Islam. Ianya bersifat provokasi yang tidak kena pada tempatnya.

Rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dan perpaduan, seharusnya mengambil iktibar dari perbuatan tidak beretika ini. Masa depan Malaysia akan berkecamok jika perangai dan budaya seperti Hindraf ini diberi sokongan dan diberi tempat dalam perjuangan mewujudkan masyarakat Malaysia yang madani.