YB. Dato Mukhriz Tun Mahathir dan YB. Khairy Jamaluddin. Pak Lah akan serah kuasa, Macam mana nasib Khairy?
Pertandingan merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO menjelang pemilihan UMNO tahun ini seakan-akan hanya tertumpu kepada dua individu, yakni YB. Dato' Mukhriz Mahathir dan YB. Khairy Jamaluddin. Tidak dinafikan terdapat tokoh lain yang menawarkan diri bertanding kerusi panas ini, namun pertembungan dua individu ini lebih sensasi untuk diperkatakan. Seorang anak bekas Perdana Menteri dan seorang lagi anak menantu Perdana Menteri. Kedua dua mereka adalah Ahli Parlimen; Mukhriz MP Jerlun, Kedah dan Khairy MP Rembau, Negeri Sembilan.
Akhir-akhir ini, Perdan Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi mula rasa terkilan. Pak Lah telah bertindak mengawalkan proses peralihan kuasa. Pengumuman awal Pak Lah mengenai tarikh peralihan kuasa itu telah menarik perhatian pemimpinan-pemimpin kanan UMNO untuk mengintai jawatan tertinggi UMNO. YB Zahid Hamidi sudaha mula memacakkan tiang bendera bagi menawarkan diri bertanding jawatan no 2, UMNO. Ianya diikuti Ketua Menteri Melaka Datuk Wira Mohd. Ali Rustam. Tak pasti berapa banyak lagi tiang bendera yang bakal dipacakkan bagi jawatan no 2 itu?
Pengumuman Pak Lah itu sekaligus menjadi satu cabaran besar bagi menantunya YB. Khairy Jamaluddin yang sering dikaitkan dengan kecelaruan urustadbir negara sejak Pak Lah menjadi PM. Apakah cabaran ini bakal menjadi tamparan hebat kepada Khairy yang telahpun berjuang merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia?. Apapun, pada saat inilah ketokohan Khairy perlu diuji. Khairy perlu membuktikan bahawa kewibawaanya selama ini bukanlah atas dasar dan asas yang disandarkan kepada pengaruh Pak Lah, "bapa mertuanya".
Bagi YB. Dato' Mukhriz, peroses peralihan kuasa PM yang lebih awal menandakan bahawa pendiriannya menyerahkan surat resmi agar Pak Lah meletakkan jawatan sebagai PM selepas PRU 12, menjadi satu "kebenaran". Sudah pasti slogannya "Berani Berubah" akan lebih menjadi lantang, bersinar dan meyakinkan. Pendiriannya yang kukuh, tegas, tidak berubah dan keberaniannya mengutarakan fakta yang dianggapnya sebagai perlu dan benar semakin mendekatkan beliau ke kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Pembawaan beliau yang lebih kelihatan sebagai penuh kesederhanaan, tidak mengundang permusuhan malah tidak menjadi musuh mana-mana pihak, tidak diancam dan dikecam pihak lawan merupakan "permata" yang menjadi kekuatan Mukhriz.
Permata inilah yang tidak dimiliki Khairy sekaligus membezakan kedua-dua calon Ketua Pemuda ini. Satu-satunya senjata Khiary yang tercanggih kini yang tidak dimiliki Mukhriz ialah pengaruhnya terhadap kuasa Perdana Menteri. Akan tetapi, kuasa itu bakal diserahkan dengan awal dan segera.
Apakala Pak Lah meletakkan jawatannya sebagai PM, Maka jadilah Mukhriz dan Khairy sebagai anak dan anak menantu mantan Perdana Menteri. Bezanya, Tun Mahathir dulu meninggalkan UMNO dalam keadaan UMNO kuat, kukuh dan bersatu manakala Pak Lah bakal meninggalkan UMNO dalam keadaan politik yang sedih pilu, tidak stabil, kabur arahnya dan mencabar kepimpinan dan politik negara.
Kalau politik itu mudah, bagai membilang jari, maka Mukhriz boleh dikatakan sudah mulai mengorak langkan menaiki pentas politik UMNO untuk menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Namun kerana politik "is a game of possible" maka pertembungan itu pasti semakin menjadi hebat. Kita doakan politik dan pertembungan kepimpinan dalam UMNO kali ini, BUKAN berpatah arang berkerat rotan tetapi lebih merupakan "biduk lalu kiambang berpaut".
Pak Lah serah kuasa...nasib KJ macam mana