Translate

Thursday, December 18, 2008

MABUL-PEMBANGUNAN MENYISIHKAN MASYARAKAT


Pembangunan Mabul: Kelihatan Penempatan masyarakat mabul semakin terasing dan tersisih. Teori Pembangunan semata-mata dan Retorik eksekutif hanya akan tambah menyisihkan mereka.

Pembangunan yang menyisihkan komuniti adalah antara pemangkin utama yang menggalakkan jurang perbezaan taraf hidup dan pendapatan antara masyarakat. Keadaan ini ternyata jelas tidak selaras malah bertentangan dengan konsep dan dasar "Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat" yang pernah di gariskan sebagai "Dasar" dan "polisi" kerajaan.

Keadan semasa menunjukkan bahawa masyarakat Pulau Mabul "terasing" dari "iklim pembangunan" yang sedang berlaku di Pulau Mabul.

Industri Pelancongan tidak mungkin dapat disertai oleh Penduduk sebenar Pulau Mabul secara berkesan dalam erti kata yang sebenarnya. Meskipun tertulis dalam perancangan pembangunan dengan menggunakan "istilah yang berat-berat" dan "menjadi kebanggaan" seperti "limpahan pembangunan", "fringe Benefit", "pembangunan in-situ" dan pelbagai lagi istilah; namun pada hakikat sebenar-benarnya, temtasi untuk "mengabaikan masyarakat" dan menguasai keseluruhan Pulau Mabul untuk pembangunan di atas matlamat mencipta dan menjana "kekayaan" amat ketara. Masyarakat Pulau Mabul yang rata-rata miskin dan bergantung hidup pada hasil laut "mungkin hanya dilihat sebagai "belalang di padang".

Keadaan semasa kini menceritakan segala-galanya.

Begitulah yang berlaku dengan isu kemiskinan dalam Negeri Sabah. Ianya berada di hadapan mata setiap kita. Setiap hari ianya menghiasi layar kehidupan samada di kota atau di desa. Pelbagai pendekatan dan program yang "lemah" dicanangkan. Pelbagai graf dan stastistik semakin jelas dan berwarna-warni dengan bantuan kepesatan IT. Namun semuanya berunsurkan subjek yang "menunding jari kepada masyarakat miskin itu sendiri" apabila setiap pendekatan dan program itu gagal mencapai matlamatnya.

Sesekali kita perlu menyoal diri kita sebagai pencipta kepada pendekatan dan program yang lemah dalam pelaksanaan "pembasmian kemiskinan"...."Kenapakah memperkayakan yang kaya lebih diutamakan untuk di realisasikan dari memberikan peluang kepada masyarakat berpendapatan rendah dan miskin untuk mengejar dan mengecapi erti kemerdekaan secara vital dan serius?"..dan "Kenapakah isu kemusnahan alam sekitar dan ekosystem diletakan lebih teratas dari kemusnahan kehidupan dan masa depan masyarakat?