- Jika soalan :Ada apa dengan Pakatan Rakyat?" diajukan kepada anda, jawapan paling sengkat dan mudah yang anda dapat berikan ialah ialah Pakatan Rakyat ada PAS, PKR dan DAP. Paling rengkas jawapan anda ialah "PR ada Anwar Ibrahim". Sebenarnya apa yang sering kita lupa ialah Pakatan Rakyat sendiri itu hanya wujud pada nama sedangkan "rohnya", pada hakikat yang sebenarnya, tidak wujud walaupun ada kesepakatan yang belum pasti sepakat untuk mewujudkannya.
- Ramai yang sudah menolak istilah dan tentang kewujudan PR kerana ianya belum terdaftar secara sah. Bukan sedikit di kalangan juak-juak PAS, DAP dan PKR juga yang menepisnya dengan alasan ianya "adalah niat jahat juak-juak Barisan Nasional yang cuba memecah belahkan kesepakatan dalam PR.". Benarkah PR sepakat? Jika benar BN memecah belahkan PR selama ini, apakah pula "kerja" PR,? Adakah PR bertungkus lumus mengukuhkan perpaduan Barisan Nasional?
- Terkadang kita "diserang" dengan kenyataan bahawa media massa nasional seperti TV1, TV2, TV3 dan akhbar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan sebagai konon berat sebelah dan bias kerana hanya mempromosi BN. Terkadang dicap sebagai "media iblis"- (naujubillah). Persoalannya adakah TV PAS (rekaan PAS), Harakah dan Siasah dan akhbar lidah resmi DAP melakukan kerja-kerja promosi terhadap BN? Atau sekurang-kurangnya "fair" terhadap BN dalam paparannya? tentu nyata jelas...jauh sekali. Jika demikian apa "hutang" media yang lain yang tidak memperomosi pembangkang kepada Pakatan Rakyat? Apakah media-media itu diwujudkan untuk keselesaan Pakatan Rakyat?
- Apa yang ada pada Pakatan Rakyat?. Pakatan Rakyat yang hanya wujud pada nama ialah persepakatan tidak formal 3 parti, PAS, DAP dan PKR. Ketiga-tiga parti bersetuju untuk sepakat. Perbezaan idelogi dan budaya politik ketiga-tiga parti ini amat jelas. Bagaimana menyembunyikan perbezaan parti ini, "hanya Anwar Ibrahim" satu-satunya insan yang "benar-benar pakar". Manakala perbezaan dalam serba-serbi amat jelas dalam hampir seluruh rakyat biasa mengetahui dan melihatnya tanpa memerlukan "kepakaran". Bagaimana pembangkang menyatakan kesepakatan mereka sepakat?. Analisa umum mengatakan bahawa mereka hanya sepakat menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, selebihnya mereka belum sepakat malah saling bakal "membunuh atau dibunuh".
- Golongan muda yang mampu membawa "perubahan" memerhati keadaan politik negara yang pada awal selepas PRU12 lebih condong kepada "perubahan positif". Mereka memerhati slogan "Harapan Baru Untuk Malaysia" sebagai sebuah harapan yang menggunung. Sebagai golongan yang dinamik, mereka pada mulanya mendokong "Harapan Baru" itu. Tetapi apabila harapan mereka semakin hari semakin jauh, pertanda kedinamisan dan tanggapan mereka sudah berubah namun masih menuntut "perubahan yang positif". PRK Manek Urai dan PRK Bagan Pinang telah memberikan isyarat besar kepada pembangkang bahawa "kedinamisan golongan muda" hanya akan menerima kebenaran dan "perubahan positif" yang jelas dan benar tanpa berselindung di sebalik muslihat dan niat atau nawaitu yang membohongi naluri mereka. Golongan muda sudah beralih arah melihat 1Malaysia sebagai Harapan Baru bagi mereka. Bagi golongan muda, jelas bahawa 1Malaysia lebih mempunyai gagasan-gagasan dan pelan tindakan yang lebih ketara untuk digalas menjadi realiti. Apakah gagasan "Harapan Baru Untuk Malaysia" yang menjadi kenyataan? Di mana berkuburnya impian "Malaysian Malaysia"?
- Ada yang mempersoal bahawa "1Malaysia hanyalah gagasan politik kerana Malaysia sebenarnya bukan 2 atau 3, ianya memang 1. Jika demikian halnya, kenapa pula ada gagasan Malaysia Malaysia? Adakah di Malaysia ini terdapat Malaysian European, Malaysian Singaporean atau Malaysian American?. Maknanya jika pembangkang mempersoal 1Malayisa, lupakah mereka dengan gema slogan Malaysian Malaysia yang mereka kumandangkan seketika dahulu..
- Apakah kerana gagasan Malaysian Malaysia yang diangkat oleh pembangkang telah diperinci dan mendapat tentangan kaum peribumi seperti Melayu, Dayak, KadazanDusun, Bajau-Rumpun USBO, Brunei, Bisaya, Iranun, Melanau, Bugis, Banjar, Bidayuh, dan suku-suku peribumi Malaysia maka gagasan itu dikuburkan Pakatan Rakyat dengan senyap-senyap?
- Pekikan "Makkal Sakti" pastinya kini "mute" di dalam atau di atas pentas Pakatan Rakyat. Parti Makkal Sakti adalah keterangan jelas bahawa kaum India tidak terbela seperti yang dijanjikan. Apa yang telah mampu diciptakan "Makkal Sakti era Pakatan" hanyalah pemimpin-pemimpin atau YB YB mereka yang tidak dapat membela nasib mereka di dalam kerajaan pakatan Rakyat. Pemimpin mereka terpaksa mengampu kepada DAP atau PKR untuk diberi muka walaupun mereka ada sebahagian dari DAP dan PKR. Atas alasan itulah maka "Makkal Sakti era Barisan Nasional" lahir secara sah.
- Ada apa lagi dengan Pakatan Rakyat?. Tian Chua, Ketua penerangan Parti KeADILan Rakyat dikatakan pernah membuat kenyataan bahawa PAS boleh saja mengetengahkan "HUDUD" dan "Negara Islam" asalkan ianya TIDAK direalisasikan. DAP mengatakan semua impian PAS itu "over my dead body". Kes arak dan bogel tak perlu diulas. PAS juga menyalahkan DAP di Bagan Pinang kerana mereka "mencuri" show dalam semua perhimpunan besar semasa PRK Bagan Pinang. Ini hanyalah sekelumit dari ketidak sepakatan Pakatan Rakyat. Lalu mereka tewas dengan tragis di Bagan Pinang. Malah ada tuduhan bahawa "Melayu dengan Melayu bertumpah darah" kerana hasutan pihak lain.
- Terkini: Zaid Ibrahim yang suatu ketika dulu semasa menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah membidas dan mengsyorkan agar Tan Sri Muyihiddin Yassin diambil tindakan tattertib oleh UMNO, meletak jawatan dan yang "sewaktu dengannya" kerana membuat kenyataan di Singapura mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri. Namun akhirnya Zaid sendiri melucutkan dirinya sebagai Menteri, Senator dan ahli UMNO. Karma ditelannya bagai menelas vitamin. Dia menyertai PKR.
- Dalam PKR, Zaid membawa lumpurnya. Kini dia berhadapan Azmin Ali, anak emas DSAI. Bila DSAI menghalangnya dari melawat Sabah dan Sarawak jelaslah hukum karma mula menimpanya tanpa perlu membuka buku undang-undang yang bertimbun di pejabatnya. Apakah Zaid yang menjadi kebanggan semntara PKR dan Pakatan Rakyat akan meninggalkan pelabuhan Pakatan Rakyat? Atau Zaid terpaksa bergelumang karma di situ setelah dimanja oleh Tun Pak Lah dalam UMNO dan kerajaan Barisan Nasional?
- Zaid yang terhidu gerakan anti Azmin Ali di Sabah dan Sarawak sukar menyembunyikan nawaitunya ke Kota Kinabalu dan Kucing. Terimalah hakikat bahawa angan Zaid itu "ada udang di sebalik batu". Bercutilah selama enam bulan dari aktiviti politik PKR ke Carribean Island atau ke Europe kerana percutian di situ lebih menafikan kulit udang yang merah dari kulit ketam apabila direbus.
- "Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi". Ternyata YAB Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak telah berjaya menjejaki jalan ayahnya. Kemelut politik semasa Tun Razak yang lebih besar, lebih sukar dan lebih panas namun dapat diatasi Tun Razak dengan bijaksana dan membawa kemakmuran yang rakyat Malaysia kecapi hingga ke hari ini. Najib memang "ditabek" DSAI sebagai individu yang dapat mengatasinya di segi kebijaksanaan berpolitik. Barangkali Kerana itulah DSAI telah memulakan perangnya dengan membunuh "karakter" Najib. Namun bagi Najib “Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” .....“Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan. “Kendati tergantung awan di langit, Telah terlanjur kubentangkan layar. Walau badai datang menggulung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan. Hidup UMNO! Hidup Melayu!”
- Ada apa dengan Pakatan Rakyat?. DSAI adalah individu yang berjaya menimang telur di hujung tanduk dan menatang minyak yang penuh akan keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat. Tanpa PAS dalam Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat hanya menjadi mimpi ngeri. Mudah saja orang politik menafikan tiada persengketaan demi "strategi peperangan". Tetapi menyembunyikan hanyirnya bau bangkai gajah tidak semudah menyembunyikan jerawat di pipi. DAP ada rekod meninggalkan PAS dalam Barisan Alternatif kerana hubungannya dengan PAS masa itu tidak menguntungkan DAP. Hubungan DAP dan PAS pula di Bagan Pinang telah merugikan PAS. Dalam banyak perkara PAS dan DAP amat sukar berjalan seiring. Lakukanlah apa saja innovasi dalam PAS bagi keselesaan DAP atau Pakatan Rakyat namun hakikat perbezaan ideologi dan prinsip bukanlah satu perkara yang mudah dipandang remeh. Katakanlah apa saja, termasuk menuduh saya memperlaga PAS -DAP, namun hakikat tidak semudah ditolak.
- Jika penjawat awam di Selangor merasa dianiyah SELCAT, jika Hassan Ali dan PASnya dinafikan suaranya memperjuangkan hak dan kesucian Islam di Selangor, Jika Makkal Sakti" mute di Pentas Pakan Rakyat, jika Pembangkang di Perak terus-terusan "mengamuk" kerana kehilangan kuasa dan pangkat, Jika DAP monopoli di Pulau Pinang, Jika PKR Sabah dipaksa Azmin Ali menuruti kemahuan, dan telunjuknya, jika Zaid mula merasa bahang karma dalam Pakatan Rakyat dan jika golongan muda yang dinamis mula menyedari bahawa Harapan Baru bagi mereka malap dan hanyalah retorik dan banyak lagi soal yang tidak mampu dimuatkan di ruang kerdil ini, apa lagi yang ada pada Pakatan Rakyat?
- Pakatan Rakyat, dalam kontek kedudukan Wakil Rakyat dan Ahli Parliment, selepas PRU 12 telah kehilangan 4 YB yakni 3 di Perak dan 1 di Kedah yang menyertai atau menyokong BN. Pakatan Rakyat hanya berjaya merampas 1 yakni Kuala Terengganu. melalui PRK. Kebanggaan mengenai "victory" Pilihanraya Kecil sejak PRU12 tidaklah sebenarnya harum di sebelah Pakatan Rakyat. Kedudukannya ialah 4-1 menyebelahi BN dalam kontek kedudukan YB. selaras dengan PRU12. Apa yang patut dibangga-banggakan Pakatan Rakyat dalam semua Pilihan Raya Kecil yang pernah diadakan? Kawasan Pakatan Rakyat, dia dapat balik melainkan 1 di Kuala Terengganu yang dapat dirampas dari BN. Tetapi YB Pakatan menyertai BN sudah empat...!.
- Dengan sedikit fakta ini, ADA APA LAGI DENGAN PAKATAN RAKYAT? Sekadar bertanya..
-noreen-