Translate

Wednesday, October 14, 2009

Gagasan 1Malaysia dan PAS Untuk Semua.

1Malaysia dan PAS Untuk Semua, Mana satu sebenarnya untuk Rakyat Malaysia?

  1. Saya tidak lagi mahu menyebut konsep Malaysian Malaysia kerana konsep ini sudah layu dan tidak disuburkan oleh mereka yang melontarkan gagasan ini ke persada politik tanahair. Makkal Saktipun bakal tidak lagi dilaungkan bersama jeritan reformasi kerana Makkal Sakti sudah beralih arah dan menjunjung konsep 1Malaysia yang mereka anggap mampu menjadi pautan teguh yang dapat memancarkan harapan dan cahaya ke atas masa depan mereka dan generasi mereka.
  2. Makkal Sakti tidak lagi menaruh harapan kepada Harapan Baru Untuk Malaysia kerana telah terbukti di hadapan mata mereka bahawa gagasan itu tidak lebih dari satu gagasan yang menjurus semata-mata ke arah untuk menuju dan merampas taktha ke Puterajaya. Ternyata negeri-negeri yang di Perintah Pakatan Rakyat, nasib suku kaum India dan keluarga mereka tidak seindah dulu semasa BN di zaman kegemilangannya. Tidak juga semanis bait-bait ungakapan pemimpin yang pernah menjanjikan mereka harapan. Kes kampung Buah Pala yang menyayat hati; menguris perasan mereka dan menjadi bukti bahawa sebenarnya tangisan meraung anak-anak dan keluarga mereka tidak dihiraukan Kerajaan Pulau Pinang walaupun kerajaan Pulau Pinang sebenarnya "mampu mengubahnya".
  3. Cadangan Kerajaan perpaduan yang dipintas dan dibunuh DSAI dan LKS secepat kilat dulu tidak dapat memadamkan kenyataan bahawa percaturan politik tanahair masih di tangan PAS dan Barisan Nasional. Tanpa PAS, Pakatan Rakyat sudah lama berkubur. Harus diingat pula bahawa tanpa Sabah dan Sarawak, Barisan Nasional sudah lama meninggalkan Puterajaya dan duduk dimeja pembangkang dalam Parliment Malaysia.
  4. PAS belum dapat menembusi politik Sarawak dan Sabah. Gagasan "PAS Untuk Semua" belum laku di dua Negara yang menyertai pembentukan Malaysia ini bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu. Pakatan Rakyat pula terlalu pahit untuk ditelan di Bumi Kenyalang dan di Negeri Di Bawah Bayu. Apatah lagi PAS secara bersendirian. PAS Untuk Semua belum diterima di Sarawak.
  5. Abdul Hadi dipetik menerusi portal Malaysiakini pada 11 Julai 2009 sebagai berkata; “Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Ai sahaja kita kalah sebab mereka tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina tetapi tempat yang pakai molek, undi PAS.”. Penyataan Hadi ini sudah cukup memberikan gambaran bahawa menjelang Pilihanraya Umum Sarawak nanti, PAS dan apa juga parti yang associate dengannya pasti diintai dengan "sumpit" dan "paruh dan bulu Burung Kenyalang". Kendatipun Hadi tidak bertujuan menghina, tetapi masyarakat rumpun Dayak pasti tetap juga merasa tersinggung dengan penyataan itu. Jelaslah bahawa gagasan PAS Untuk Semua tidak menepati selera Malaysia dan tidak akan laku di Bumi kenyalang. Jadi benarkan gagasan "PAS Untuk Semua"?
  6. Di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu, kegiatan PAS lebih kepada "bersendirian". Ahli-ahli Pakatan Rakyat membawa diri masing-masing seperti "enau dalam Belukar". DAP sibok dengan penjelajahannya ke seluruh Negeri menjadi juak-juak dan "tukang lapor" kepada kepincangan yang mereka lihat dengan mata kepala mereka. Kadang-kadang lucu kerana hanya sekadar nampak longkang tersumbat dan padi tumbuh terbiar terus melabel Barisan Nasional sebagai tidak mampu menerajui Kerajaan. Lalu dirakam gambar mereka berlatar belakangkan longkang dan padi dan publish ke dalam blog. Jika demikianlah peranan pembangkang Sabah, anak murid darjah 3 pun mampu melakukannya. Barangkali hanya sekadar memperlihatkan kepada mayarakat umum bahawa "we're still here" atau "we were there".
  7. Keberasing-asingan dan ketidak bersama-samaan Pakatan Rakyat Sabah melakukan aktiviti mereka menunjukkan ketidak sepakatan mereka dalam banyak perkara. Nyatalah dalam kontek Pakatan di Sabah, perbezaan ideologi parti masing-masing lebih menonjol dan memisahkan mereka antara satu dengan yang lain walaupun dalam pakatan parti yang sama. Apakah slogan PAS Untuk Semua menepati selera dan kreteria mayarakat Malaysia sedangkan dalam skop dan lingkungan pakatan mereka sendiri, yang kecil, gagasan ini tidak menyerlah?
  8. Di Perak akan di lancarkan Konsep 1Malaysia pada 18 Oktober ini. "Penyokong parti pembangkang juga dijemput ke majlis ini kerana konsep 1Malaysia melangkau batas kaum dan pegangan politik"-Zambri Abdul Kadir, MB Perak. Walaupun ini dianggap sebagai "penghinaan" oleh pemimpin pembangkang di Perak, tetapi yang menilai sesuatu tindakan itu ialah rakyat Perak dan masyarakat umum. Penentangan Pemimpin Pakatan Rakyat di Perak yang dikuasai DAP pastinya akan melantun ke arah mereka sendiri. Mereka hanya akan hanya berjaya menelanjangkan sikap mereka yang tidak selaras dengan konsep dan slogan "Untuk Semua" dan kabur di sudut semangat "toleransi". Apakah Nizar Jamaluddin mampu memperdagangkan PAS Untuk Semua dalam kontek ini?
  9. 42% peningkatan sokongan masyarakat BUKAN Melayu dalam PRK Bagan Pinang, Negeri Sembilan, ke atas Barisan Nasional tidak boleh di perkecilkan PAS dan Pakatan Rakyat. Tindakan menyalahkan rakyat yang mengundi Barisan Nasional oleh sebilangan pemimpin termasuk Azmin Ali dan Dr. Lo Lo dalam media perdana masing-masing menambah parah lagi pandangan dan tanggapan umum terhadap konsep dan gagasan PAS Untuk Semua. Mereka seolah olah tidak menerima mandat Rakyat. Cukuplah Hadi menyalahkan dan menyakiti hati bangsa Dayak di Batang Ai dan Sarawak amnya. Jika benar "PAS Untuk Semua", janganlah rakyat terus-terusan dipersalahkan bila anda mengalami kekalahan. Jika tidak, slogan PAS Untuk Semua itu bakal diganti rakyat dengan "PAS Untuk Pakatan" dan lebih hodoh lagi bila ianya menjadi sendaan "PAS Untuk DAP".
  10. Tunjang kepada kekuatan dan kemakmuran negara ini adalah perpaduan. Kestabilan politik dan kestabilan ekonomi negara menghendaki kestabilan sosial yang dijana dari perpaduan berbilang kaum di Negara Tercinta ini. Perpaduan adalah pre-requisite kepada kestabilan sosial. Kestabilan Politik dan Kestabilan Ekonomi hanya akan mampu memakmurkan Negara jika ianya berjalan serentak dan sehala dengan kestabilan sosial. Maka kerana itu Konsep 1Malaysia adalah menjadi pertaruhan yang unggul, BUKAN sesuatu untuk perjudian politik, tetapi sesuatu untuk Malaysia dan rakyatnya.

No comments: