DSP Joseph Pairin Kitingan
Anggota PBS Perlu Ambil Iktibar Tsunami Politik Pada P/raya Umum Lepas, Kata Pairin PITAS, 6 Julai (Bernama) -- Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengingatkan anggota parti itu supaya mengambil iktibar gelombang tsunami politik yang berlaku pada pilihan raya umum lepas, untuk memantapkan persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata PBS kini bersiap sedia memainkan peranan sebagai anggota dalam komponen Barisan Nasional (BN) untuk memastikan kemenangan gagasan itu.
"Parti Bersatu Sabah telah dan sedang mengambil langkah-langkah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang mungkin akan diadakan pada bila-bila masa," kata Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika merasmikan khemah kerja 1PBS bahagian zon utara di Dataran Bengkoka, di sini Selasa.
Katanya, peringatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN harus berubah perlu diberi perhatian serius demi kebaikan BN.
"PBS adalah seperti dalam pasukan bola sepak Barisan Nasional yang bertanding dalam Piala Dunia dan matlamat kita adalah menjaringkan gol, dan untuk itu persefahaman di antara pemain harus ada dalam usaha mencapai kejayaan.
"Kita sudah memilih BN sebagai pasukan kita, dan BN lah pasukan yang kita sokong. Posisi ketua pasukan, penjaga gawang, barisan pertahanan pasukan Barisan Nasional sudah berganti dengan yang baru dan yang menggantikan itupun adalah yang kita sukai dan kita perlu setia serta memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi," katanya.
Pairin turut meminta anggota parti supaya bekerja keras untuk meneruskan perjuangan BN.
"Najib adalah Perdana Menteri yang benar-benar prihatin kepada rakyat negeri Sabah dan Sarawak kerana sebahagian daripada program transformasi kerajaan adalah menumpukan kepada usaha mentransformasikan negeri Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju.
"Usaha-usaha ini haruslah disokong tanpa berbelah bahagi oleh rakyat Sabah," kata beliau.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment