Translate

Sunday, September 14, 2008

PERPADUAN JANGAN SEKALI-KALI DIPERLEKEH.


Perpaduan yang menjadi teras kejayaan bagi kita membina negara ini tidak harus sama sekali diperlekehkan. Dunia telah mengiktiraf kejayaan kita membina negara “multiracial” ini ke satu tahap yang membanggakan dan kini kita nikmati kemakmurannya. Sebarang usaha dan tindakan yang dilihat sebagai ancaman kepada perpaduan ini wajib kita tentang habis-habisan.

Ada pihak yang berusaha menyemai bibit-bibit perpecahan dengan berusaha menonjolkan imej dan induktrinasi yang berselindung di belakang tabir keadilan dan hak asasi. Namun ternyata dengan jelas bahawa kumpulan yang sebegini hanyalah mempromosi tsunami yang bakal merobohan jambatan perpaduan dan harmoni yang selama ini kita bina atas titik peluh dan rintih pedih para pejuang kemerdekaan.

Tsunami itu sendiri adalah malapetaka yang dasyat. Kenapa masih ada di antara kita yang harus berbangga dengan berlakunya Tsunami, seperti Tsunami politik. Istilah ini sendiri tidak sesuai digunakan oleh mana-mana pihak yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Hari ini kita bebas berpolitik dan bersuara. Pun begitu, kita mesti akur dan menerima hakikat akan adanya batas, norma dan had yang perlu kita pelihara dan hormati. Hakikatnya “kebebasan yang mutlak” itu tidak wujud dan tidak baik. Kebebasan tanpa had, batasan dan ultra akan menjadi ancaman kepada perpaduan rakyat negara kita yang sememangnya mempunyai ciri-ciri yang “fragile”. Musuh-musuh kita telahpun mengenali ciri-ciri yang fragile ini. Kuasa asing terutama penjajah dan musuh kita sudah pasti akan menggunakan kekuatan dan kekuasaannya untuk mengambil kesempatan melemahkan kita semua.

Musuh-musuh kita ini bisa saja menjadi musang yang berbulu ayam. Sementara kita dapat dipergunakan untuk melemahkan Negara kita sendiri, pasti mereka akan menawarkan habuan dan bantuan yang mengalpakan namun bersalutkan darah dan airmata anak-anak dan generasi kita. Mereka pasti akan memanipulasi segala kelemahan dan kesempatan yang ada di hadapan mereka untuk melihat kita berpecah belah dan akhirnya lemah.

Apabila kita lemah kita pasti akan berpaut pada segala kesempatan yang ada untuk memperkuatkan asas dan foundasi kita untuk kelihatan dan muncul sebagai pejuang. Kali ini kita akan menjadi pejuang kepada suku kita, bangsa kita, ugama kita dan para pengikut kita yang fanatik terhadap kepimpinan kita. Kita akan mula berpuak-puak dan akhirnya kita bakal merobohan perpaduan dan keharmonian rakyat dan negara kita yang kita telah bina berabad lamanya dalam jangka waktu yang pendik. Kala itu, negara kita akan lemah. Lalu kita “menyesalpun sudah tidak berguna lagi”. Kita berpecah. Akhirnya kita semua mudah untuk diperkotak katik dan dijajah semula.
.
Jangan kita terhantuk baru kita terngadah.

Atas dasar inilah kita dan para pemimpin kita, politikus semua wajib mengelak dari menggunakan isu-isu yang mengancam keharmonian. Berpolitik dengan menggunakan isu suku kaum hanyalah mungkin memenangkan kita buat sementara dan jangka pendik. Namun kehancuran yang akan diakibatkan oleh kemahuan yang ultra, dengan mudah membuat kita alpa dan cenderung ke arah menafikan had-had dan batas batas kebebasan. Kita alpa bahawa kehancurannya bersifat jangka panjang atau kemungkinan kekal buat selama-lamanya. “Memutihkannya semula tidaklah semudah menghitamkan yang putih”.

Bayangkan kalau Aidilfitri hanya untuk orang Islam, Chrismas hanya untuk Penganut Kristian, Depavali hanya untuk penganut Hindu, Gong Xi Fa Chai untuk orang-orang Tionghua dan sebagainya; tanpa kita sertai bersama; tanpa kita hormati bersama. Generasi kita akan menyesali tindakan kita kerana mereka terpaksa menangisi kerharmonian yang telah kita runtuhkan. Manakala keamanan masa itu barangkali telah pupus telahpun ditelah zaman.

Iraq, Bosnia Herzagovina, USSR, Rowanda, Palestine, Heiti, Selatan Thailand dan Selatan Filipina sudah cukup kita jadikan sempadan. Hendaknya kita mesti merenung jauh dan bertanya diri kita. Apakah yang diri kita inginkan demi “mendaulatkan” negara kita untuk masa depan negara dan generasi kita?.

Elakkanlah mengungkit dan menyelungkar isu kaum, agama dan kepercayaan (adat resam) jika sebenarnya kita cintakan keamanan dan Negara kita-Malaysia. Jika kita gagal, kita tidak lebih dari musuh generasi kita sendiri.

No comments: